Mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta
perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan
Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM) ingin memaklumkan bahawa sesi persekolahan secara
Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan
sehingga 31 Ogos 2021. Ketetapan ini terpakai kepada semua sekolah
kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan institusi
pendidikan yang berdaftar dengan KPM.
KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi
COVID-19 (CITF) bagi memastikan kadar vaksinasi dalam kalangan
guru, pentadbir dan kakitangan sokongan di sekolah dapat terus
ditingkatkan. Sehingga 16 Julai 2021, seramai 253,366 orang guru dan
pentadbir (61.30%) serta 10,876 orang kakitangan sokongan (46.33%)
telah menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin.
Mengambil kira kadar vaksinasi ini, KPM telah membuat ketetapan
bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk Pengajaran
dan Pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 1 September 2021.
Namun begitu, KPM akan terus mengambil kira penilaian risiko oleh
KKM dan MKN bagi melihat sekiranya terdapat keperluan untuk
membuat perubahan terhadap tarikh tersebut. Sebarang perubahan
akan dimaklumkan lebih awal.
KPM akan memaklumkan perincian lanjut mengenai pembukaan
sekolah bagi sesi PdP secara bersemuka selewat-lewatnya seminggu
sebelum sekolah dibuka.
KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik.
-TAMAT –
KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
17 JULAI 2021