GURU PERLU KREATIF TAKSIR MURID DALAM NORMA BAHARU

MALAYSIA berhadapan situasi gelombang ketiga pandemik COVID-19 bermula Oktober tahun lalu selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan Malaysia dilanda gelombang terbabit setelah negara mencatatkan angka tiga angka kes baharu.

Sehubungan itu, sistem pendidikan kebangsaan sekali lagi terkesan berikutan analisis data kes positif, kontak rapat dan kuarantin dalam kalangan pelajar, guru serta warga sekolah semakin meningkat.

Oleh itu, sekolah di seluruh negara terpaksa ditutup buat kali kedua. Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil beberapa inisiatif awal.

Pertama, KPM mengedarkan surat pekeliling ikhtisas, surat siaran, surat pemakluman dan garis panduan KPM berkaitan.

Kedua, KPM menyediakan Manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Inisiatif ini bertepatan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menetapkan setiap pelajar perlu mendapat akses kepada pendidikan untuk mencapai potensi diri bagi menghadapi kehidupan masa hadapan.

Oleh itu, pelajar berhak mendapat peluang mengikuti pendidikan walaupun tidak dapat hadir ke sekolah.

Sehubungan itu, sistem pendidikan negara perlu mewujudkan satu mekanisme baharu dalam kaedah pentaksiran PdPR apabila sekolah terpaksa ditutup ketika gelombang ketiga pandemik COVID-19 melanda negara ini.

Guru bukan sahaja perlu merancang dan mengaplikasikan pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara berkualiti melalui pembelajaran di rumah, malah perlu meneroka dan merancang pentaksiran alternatif untuk menggantikan peperiksaan serta ujian bertulis secara bersemuka.

Hal ini supaya pentaksiran secara formatif dan sumatif dapat terus dilaksanakan kepada pelajar. Bertepatan dengan itu, pentaksiran alternatif dapat memastikan kesinambungan pembelajaran berkualiti sepanjang pelajar melalui home-based learning.

Pelaksanaan pentaksiran alternatif membolehkan guru memantau perkembangan pembelajaran pelajar, menjalankan pentaksiran dan memperbaiki mutu pembelajaran pelajarnya semasa pandemik COVID-19.

Terdapat keperluan bagi guru untuk menggabungkan kaedah penilaian alternatif dalam PdP supaya guru boleh menilai kebolehan pelajar dengan berkesan.

Definisi pentaksiran alternatif merujuk kepada pelbagai aktiviti selain peperiksaan untuk menilai penguasaan dan mengesan perkembangan pembelajaran pelajar.

Pentaksiran ini selaras dengan kaedah Pembelajaran Abad ke-21 berteraskan elemen kolaborasi, kreativiti, komunikasi, pemikiran kritikal dan nilai.

Pentaksiran alternatif seiring dengan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) berfokus kepada perkembangan dan kemenjadian pelajar secara holistik.

Oleh itu, guru melaksanaan PdPR ketika pandemik COVID-19 boleh menggantikan kaedah pentaksiran konvensional dengan pentaksiran alternatif.

Pentaksiran alternatif boleh dibahagikan kepada tiga pendekatan, iaitu pentaksiran kognitif, prestasi dan portfolio.

Pentaksiran kognitif berfokus untuk mengukur kemampuan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) pelajar, penguasaan, sikap dan kemahiran komunikasi.

Pentaksiran prestasi ditakrifkan sebagai kaedah memerlukan pelajar untuk menunjukkan kemampuan mereka secara langsung menggunakan hasil kerja pelajar dalam aktiviti tertentu.

Penilaian prestasi tertumpu kepada kebolehan pelajar untuk menerapkan pengetahuan, kemahiran, dan pertimbangan dalam realistik tidak jelas konteks.

Kriteria pentaksiran prestasi tertumpu pada pembelajaran kompleks yang kemahiran menyelesaikan masalah. Pelajar menunjukkan kesungguhan dalam penyelesaian tugasan memerlukan pelbagai langkah dan masa.

Penilaian portfolio ditakrifkan sebagai kaedah penghasilan karya pelajar berbentuk proses dan akhirnya memperoleh produk.

Malah guru kini terdapat pilihan untuk menghasilkan portfolio secara elektronik.

Guru boleh memilih pentaksiran alternatif yang dapat disesuaikan berdasarkan kaedah PdPR. Antara pentaksiran alternatif untuk pembelajaran boleh dilaksanakan secara dalam talian ialah kuiz dalam talian, e-permainan (gamification) dan aktiviti soal jawab semasa kelas dalam talian.

Kuiz dalam talian menggunakan konsep sama seperti kuiz konvensional semasa pembelajaran bersemuka. Bezanya pelaksanaan kuiz menggunakan media dalam talian. Bentuk kuiz boleh dijalankan secara ujian subjektif atau ujian objektif.

Ujian subjektif ialah ujian untuk pelajar dapat menunjukkan jalan kerja dalam soalan berbentuk penyelesaian masalah.

Beberapa teknologi pendidikan boleh diaplikasikan guru seperti Spreadsheets, Geogebra, Tools Graphing, Computer Algebra Systems (CAS), Dynamic Geometry Software (DGS) dan Applets.

Selain itu, ujian objektif boleh dijalankan dalam empat bentuk. Pertama, bentuk ujian benar salah. Ujian benar salah terdapat kenyataan perlu ditentukan kebenarannya.

Kedua, multiple choice test ialah ujian memerlukan jawapan dipilih daripada pilihan jawapan diberikan.

Ketiga, ujian padan suai, iaitu satu pernyataan perlu dipadankan dengan pilihan jawapan sesuai.

Keempat, ujian isi tempat kosong. Soalan berbentuk ayat tidak lengkap. Jawapan tepat perlu dipilih untuk diisi dalam tempat kosong untuk melengkapkan ayat diberi.

Antara aplikasi dalam talian boleh diaplikasikan ialah kuiz dalam talian Quizizz. Kuiz dalam talian dan e-permainan menggunakan pelantar Quizizz dapat digunakan guru kerana aplikasi pembelajaran ini dilihat mudah penggunaan dan guru dapat mengaplikasikan untuk pentaksiran.

Pada masa sama, permainan komputer dirancang dengan betul dapat memainkan peranan berguna dalam membantu pelajar belajar dari rumah.

Di samping itu, penyelesaian masalah dan pengutaraan masalah ialah aktiviti kognitif penting dalam PdP dalam bilik darjah. Guru boleh menjalankan aktiviti soal jawab dalam talian dengan melaksanakan aktiviti pengutaraan masalah dalam kalangan pelajar.

Pendekatan mengutarakan masalah dan penyelesaian masalah dalam pembelajaran dapat menghasilkan pemahaman lebih baik terhadap topik dan proses pembelajaran.

Oleh itu, aktiviti pengutaraan masalah dapat memberikan sikap positif terhadap sesuatu konsep pelajaran.

Pentaksiran alternatif untuk pembelajaran luar talian ialah pembelajaran menggunakan modul. Guru boleh memuat turun bahan modul pelajaran lengkap di Portal Rasmi Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) melalui laman web rasminya.

Terdapat juga guru mengambil inisiatif membina sendiri modul dalam bentuk hardcopy. Modul ini mengandungi aktiviti relevan dengan topik tertentu. Pelajar disaran menggunakan pengalaman sendiri bagi menyelesaikan tugasan diberikan.

Modul pembelajaran ini diedarkan kepada pelajar berdasarkan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) ditetapkan. Pentaksiran dalam modul dapat mengukur penguasaan pelajar. Pelajar perlu menyerahkan hasil tugasan untuk disemak atau ditaksir secara serahan tangan atau melalui medium Whatsapp atau Telegram.

Berdasarkan KPM, pentaksiran alternatif sebagai pembelajaran dalam talian dan secara luar talian ialah pentaksiran kendiri. Pentaksiran kendiri terdiri daripada pelajar memberi ulasan hasil kerja atau prestasi mereka sendiri menggunakan helaian pentaksiran kendiri.

Pentaksiran kendiri juga boleh dijalankan melalui sesama rakan sebaya yang dikenali dengan pentaksiran rakan sebaya. Pentaksiran rakan sebaya dinilai menggunakan instrumen pentaksiran rakan sebaya.

Guru juga boleh meminta pelajar membina peta konsep dan pemarkahan kerja sendiri dengan merujuk kepada kriteria tertentu. Pentaksiran kendiri dan rakan sebaya boleh meningkatkan pengaturan diri pelajar (self-regulation) dan pencapaian.

Pentaksiran rakan sebaya boleh menjadi antara kaedah pentaksiran alternatif berfungsi sebagai pentaksiran formatif.

Pentaksiran alternatif mengenai pembelajaran secara dalam talian ialah peperiksaan atau ujian dalam talian menggunakan Google Classroom dan portfolio elektronik.

Guru juga boleh menjalankan pembelajaran berasaskan projek. Terdapat tujuh panduan pelaksanaan pembelajaran berasaskan projek berasaskan Manual Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah.

Pertama, guru memberi tajuk kepada pelajar. Kedua, guru membimbing pelajar untuk mengenal pasti kaedah menyiapkan projek yang diberikan.

Ketiga, guru membimbing pelajar untuk mengenal pasti bahan, peralatan dan kos diperlukan. Keempat, guru menentukan jangka masa menyiapkan projek.

Kelima, guru membimbing pelajar menyelesaikan projek. Keenam, pelajar membentangkan hasil projek. Ketujuh, pelajar membuat refleksi tentang proses penghasilan projek.

Cadangan pentaksiran alternatif ini diharapkan menjadi pilihan kepada guru untuk menambah baik instrumen pentaksiran sedia ada dan seterusnya menambah baik keberkesanan pelaksanaan PdPR yang dijalankan semasa pandemik COVID-19.

Pentaksiran berkualiti dapat menyumbang kepada pembentukan pelajar berkualiti dan berkemahiran daripada semua aspek serta meningkatkan keberkesanan PdP yang dijalankan.

Bagi mencapai hasrat ini, guru dan diri pelajar perlu menjalinkan kerjasama dalam menjayakan PdPR dibuat. Pada masa sama, ibu bapa atau penjaga, pihak sekolah, Pegawai Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri dan KPM haruslah memainkan peranan masing-masing dalam membantu agar PdPR dan pentaksiran yang dijalankan semasa pandemik COVID-19 berjalan dengan lancar.

Prof Madya Dr Abdul Halim Abdullah dan Zuraini Marion

Penulis adalah Pensyarah Sekolah Pendidikan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Baca di : https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2021/01/779528/guru-perlu-kreatif-taksir-murid-dalam-norma-baharu

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s