Disiplin memainkan peranan yang penting ke arah pembentukan sahsiah setiap murid. Ia adalah salah satu komponen penting dalam sistem persekolahan yang berkait rapat berkenaan tatatertib, tatasusila, keadaan, akhlak dan kesopanan. Mengikut Kamus Dewan, disiplin bererti latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh kepada tatatertib.
Foucault (1977), menyatakan disiplin merupakan satu bentuk pengawasan dan membiasakan amalan yang dikehendaki. Pandangan beliau melihat sekolah sebagai sebuah ‘mesin pedagogi’ dan murid didisiplinkan supaya mematuhi peraturan-peraturan. Di sekolah, disiplin menjadi satu kawalan sosial bagi mewujudkan suasana tenteram supaya proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan teratur dan lancar. Namun di ketika ini, permasalahan yang timbul membabitkan masalah-masalah disiplin murid di sekolah merunsingkan banyak pihak.
Mengikut Ee Ah Meng (1990), disiplin merupakan yang dipersetujui oleh sesuatu kelompok masyarakat bagi mewujudkan tingkah laku yang baik demi kesempurnaan masyarakat itu sendiri. Disiplin juga merujuk kepada cara berfikir yang tersusun dan seterusnya membawa kepada sifat rasional serta keyakinan diri seseorang itu.
Berbicara tentang masalah kemerosotan disiplin murid, maka kita tidak boleh lari daripada mengaitkannya dengan faktor keluarga dan sekolah. Kedua-dua faktor ini merupakan faktor utama dalam mempengaruhi masalah disiplin murid sama ada di luar rumah atau di dalam sekolah.
FAKTOR KELUARGA
Keluarga sangat berperanan penting dan mempunyai pengaruh yang kuat dalam perkembangan kognisi kanak-kanak. Keluarga yang lengkap, terdiri daripada ibu bapa dan anak-anak mampu untuk membentuk minda yang sihat. Hal ini kerana, kasih sayang merupakan unsur penting membantu pembentukan minda kanak-kanak. Hurlock (1992), menyatakan bahawa bayi yang kurang kesempatan untuk mendapat ungkapan kasih sayang atau untuk dicintai oleh orang lain akan menjadi pendiam, lesu, tidak memberi senyuman dan tidak berusaha untuk memperoleh kasih sayang. Selain itu, perhatian yang kurang daripada keluarga menyebabkan kanak-kanak menjadi lesu dan pasif. Unsur kerapikan juga penting dalam keluarga. kira-kira 70 peratus daripada bayi yang berumur satu tahun yang dikaji menunjukkan jenis kerapikan selamat didapati bermain dengan cergas aktif apabila ibu mereka berada dalam bilik. Namun apabila ditinggalkan oleh ibu mereka, bayi tersebut menunjukkan kesedihan (Jas Laile Suzana, 2000).
Menurut Melson (1992), keluarga dianggap sebagai agen sosialisasi yang paling penting. Ini bermaksud bahawa perubahan dalam masyarakat seolah-olah dicerminkan oleh perubahan gaya pengasuhan anak-anak yang lebih disukai. Remaja yang berada dalam lingkungan keluarga yang berpecah belah akan merasai kesan buruk pada perkembangan kognisi mereka. Sebagai contoh, delikuen yang dilakukan oleh remaja masa kini merupakan hasil daripada mental ibu bapa, anggota keluarga dan sekitaran kejiranan yang tidak terkawal dengan baik (Kartini 1986). Situasi ini menurut Kartini lagi mempengaruhi mental dan kehidupan remaja yang belum matang.

Menurut Wong Khek Seng (1996), keadaan rumahtangga yang kurang memberangsangkan serta sikap kurang peduli ibu bapa sebagai unsur pendorong utama kepada kewujudan segala permasalahan sosial di kalangan remaja di Malaysia. Tambahan lagi, keluarga yang kurang harmonis, kurang perancangan dan interaksi antara ahli-ahlinya turut meningkatkan kemungkinan budaya melepak di kalangan muda-mudi dewasa ini. Satu kajian delikuensi didapati bahawa remaja yang terlibat dengan perlakuan delinkuen ada hubungan dengan jenis keluarga yang bercerai atau berpisah. Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Sheldon, Glueck dan Goode (1985), kenakalan dengan beberapa jenis rumah tangga atau keluarga yang berpisah. Remaja yang nakal relatifnya bermungkinan berasal dari keluarga yang bercerai. Ini kerana kenakalan remaja lahir daripada perkembangan mental yang tidak sihat dan sukar membuat keputusan yang rasional.
Menurut Razali (1994), menegaskan betapa pentingnya tanggungjawab ibu dalam menentu dan mencorakkan anak-anak mereka dengan asuhan yang positif, di samping melahirkan suasana harmoni di kalangan anggota keluarga. Remaja mula mencari kebebasan daripada ibu bapa dan mencari identiti kedewasaan. Remaja masih membentuk kasih sayang dan penghormatan terhadap ibu bapa tanpa bergantung kepada mereka. Sebenarnya, remaja menghadapi konflik, iaitu ingin bergantung dari sudut ekonomi dan kewangan tetapi pada masa yang sama ingin bebas daripada ibu bapa.

Murid daripada keluarga yang berpecah belah atau ketiadaan ibu bapa atau kedua-duanya mengalami kehilangan tempat bergantung, tempat menumpahkan kasih sayang serta, tempat di hari dewasa sebagai ahli masyarakat yang lebih aktif dan dinamis. Keadaan seperti ini boleh menjejaskan perkembangan murid-murid terutamanya dalam pencapaian akademik serta proses pembentukan personaliti. Ini bersesuaian dengan salah satu keperluan iaitu keperluan termilik dan kasih sayang (Maslow,1954). Menurut Maslow, kekurangan perhubungan kasih sayang menjadi punca kecelaruan personaliti yang mungkin melibatkan tingkah laku agresif dan anti sosial. Persekitaran keluarga boleh merosakkan sikap keluarga. Sikap ibu bapa yang negatif dan tidak sihat boleh menyebabkan kesukaran dalam mencapai tugas perkembangan murid. Misalnya, ibu bapa memodelkan tingkah laku yang tidak diingini. Ibu bapa akan menjadi model yang negatif bagi tingkah laku. Ibu bapa yang tekal, garang dan tidak stabil adalah model negatif. Perhubungan ibu bapa yang tidak harmonis, perkelahian adik-beradik dan ibu bapa yang selalu tiada di rumah untuk berdampingan dengan anak mereka akan mempengaruhi tingkah laku atau tugas perkembangan remaja.
Ahli keluarga yang lain seperti adik-beradik dan saudara-mara mempunyai peranan terhadap pembentukan personaliti seseorang individu. Di samping itu, gaya pengasuhan dan pengalaman positif yang diperlukan serta nilai-nilai murni yang diterapkan akan membina personaliti individu. Nilai-nilai murni yang diterap oleh keluarga mempunyai kesan yang positif sehingga mewarnakan hidup individu tersebut hingga ke alam dewasa. Kes-kes penyelewengan seperti ponteng, lari dari rumah, melepak dan lesbian jika dikaji akar umbinya sedikit sebanyak adalah berpunca daripada interaksi dan bimbingan dalam keluarga. Oleh itu, tingkah laku ibu bapa harus menjadi model kepada anak-anak remaja dalam membentuk tingkah laku yang positif. Oleh kerana itu, keluarga merupakan paksi terpenting kepada pembentukan sesebuah masyarakat. Maka pengukuhan keluarga dalam senarionya kini digugatkan oleh perubahan semasa. Ia merupakan tindakan awal yang mampu dimainkan oleh semua pihak untuk menangkis tekanan dan desakan hidup masyarakat hidup.

FAKTOR SEKOLAH
Faktor suasana sekolah dapat mempengaruhi masalah disiplin murid secara tidak langsung. Suasana sekolah merangkumi bentuk bangunan sekolah, pokok-pokok dan bunga yang ditanam dan kemudahan-kemudahan seperti tempat bermain dan perpustakaan (Mok Soon Sang, 1992). Suasana sekolah merupakan satu faktor yang menyumbang ke arah murid yang tidak berdisiplin. Ahli-ahli sosiologi berpendapat tingkah laku buruk remaja dipupuk oleh keadaan sekitar yang tidak menyenangkan. Bagi murid, suasana yang tidak menarik menjadikan keadaan lebih buruk. Secara sedar atau tidak, sekolah juga turut menyumbang kepada permasalahan disiplin pelajar. Sebagai sebuah organisasi masyarakat, sekolah mempunyai kelemahan dan kekurangannya sama ada dari segi fizikal atau kemanusiaan, menjadikannya tidak berupaya memenuhi segala tuntutan dan harapan segenap lapisan.
Menurut Omardin (1996), salah satu faktor yang menentukan kejayaan murid-murid ialah melalui iklim dan budaya sekolah. Suasana dan persekitaran yang harmoni boleh membangkitkan semangat dan akan melahirkan murid yang mempunyai sikap cintakan sekolah. Dengan ini, ia dapat mengurangkan masalah salah laku disiplin. Menurutnya lagi, sekolah perlu mewujudkan suasana persekitaran yang sesuai dan indah bagi membolehkan murid mempunyai sikap cinta kepada sekolah. Membentuk disiplin tidak sesuai menggunakan kekerasan, emosi tidak boleh disekat, dengan itu masalah disiplin murid dapat dikurangkan. Zulkarnain B. Kamarudin (2002), telah membuat kajian berdasarkan latar belakang responden melibatkan empat aspek pengaruh iklim sekolah terhadap masalah disiplin murid iaitu suasana sekolah, pengajaran dan pembelajaran, pentadbiran dan guru. Hasil kajian menunjukkan secara umumnya tahap pencapaian terhadap aspek suasana sekolah adalah lemah iaitu 40 peratus. Ini menunjukkan kebanyakkan responden merasakan suasana persekitaran sekolah sama ada di luar mahu pun dalam bilik darjah perlu diperbaiki. Pihak sekolah juga perlu memperbanyakkan lagi projek keceriaan sekolah yang melibatkan semua warga sekolah. Tahap pencapaian terhadap aspek pengajaran dan pembelajaran pula berada pada kedudukan sederhana iaitu 51 peratus. Sebahagian responden belum dapat menyesuaikan diri dengan kaedah pengajaran guru.
Hasil kajian Azhar B. Hamzah (2003), menunjukkan bahawa sebanyak 32.6 peratus responden tidak setuju persekitaran sekolah yang mendorong murid ponteng sekolah. Manakala 47.2 peratus responden setuju yang persekitaran sekolah mendorong murid ponteng sekolah. Berdasarkan dapatan kajian yang diperolehi menggambarkan beberapa faktor mempunyai pengaruh ke atas masalah ponteng sekolah. Faktor tersebut ialah faktor sikap dan faktor persekitaran sekolah.
Murid menghabiskan hampir separuh masanya di sekolah. Pengaruh sekolah adalah kedua pentingnya berbanding dengan pengaruh keluarga. Organisasi dan struktur belajar sekolah seperti pengagihan murid mengikut pencapaian, pihak berkuasa yang menekankan peperiksaan, bentuk, stuktur ganjaran dan hukuman, sikap dan harapan guru, kesemuanya menggalakkan masalah disiplin di kalangan murid-murid yang lemah daripada segi akademik (T. Marimuthu, 1980).
Jenis kepimpinan dan suasana sekolah mempengaruhi perkembangan personaliti murid. Contohnya Guru Besar yang tegas melaksanakan disiplin pasti menegaskan kepada murid, keadaan disiplin adalah penting bagi menjamin kejayaan pelaksanaan satu-satu tugasan. Sebaliknya, Guru Besar yang tidak tegas boleh mendatangkan kesan yang negatif pula. Dia menyebabkan murid menjadi pasif, menarik diri, takut mengambil risiko, kurang inovatif dan takut melakukan perubahan. Sifat-sifat kepimpinan juga terbantut perkembangannya. Di sekolah, murid memperoleh prestasi yang memuaskan, menjawat jawatan yang bertanggungjawab seperti pengawas dan mendapat penerimaan guru dan rakan sebaya. Keadaan positif ini akan membentuk personaliti yang positif.
Prestasi di dalam bilik darjah akan mempengaruhi tingkah laku murid. Murid tersebut gembira dan tekun belajar serta mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Jika murid selalu gagal, maka pengalaman pahit itu akan mendorongkan murid tersebut mudah putus asa dan takut menghadapi peperiksaan. Persekitaran sekolah akan menjadi fobia bagi murid seperti ini. Justeru, pihak sekolah perlu memberikan tumpuan terhadap tingkah laku murid seperti ini dengan memberikan peneguhan positif.
CARA TERBAIK MENGATASI MASALAH DISIPLIN MURID
- PERANAN IBU BAPA
Ibu bapa adalah golongan yang paling rapat dengan murid. Tingkah laku ibu bapa menjadi contoh terbaik bagi anak-anak mereka. Tugas mendidik hendaklah bermula pada peringkat kanak-kanak lagi. Sebelum wujudnya institusi keluarga, rumah adalah tempat di mana pendidikan asas berlaku dan guru-gurunya terdiri daripada ibu, bapa, datuk, kakak, abang ataupun ahli-ahli keluarga yang lain. Penglibatan ibu bapa bagi mengatasi masalah disiplin adalah penting. Kawalan yang ketat ke atas anak mereka dapat menghindarkan anak mereka terjerat oleh kelompok jahat, dadah, dan masalah disiplin lainnya. Ini kerana jenayah kian menjadi-jadi. Selain daripada itu, penglibatan aktif ibu bapa dalam semua aspek persekolahan anak-anak membolehkan mereka mengesan masalah-masalah yang dihadapi oleh anak mereka.
Ibu bapa juga bertanggungjawab bagi mewujudkan keadaan yang stabil di rumah supaya kanak-kanak tidak terganggu daripada segi emosi. Keadaan kucar kacir seperti pergaduhan dan perceraian pasti meninggalkan kesan yang mendalam ke atas anak-anak (Jagdish Raj Sharma, 1982:87). Selain daripada itu, penekanan pada aspek keagamaan perlu diutamakan oleh ibu bapa. Ibu bapa yang tidak berkesempatan mengajar asas-asas agama kepada anak-anak mereka, wajar bagi mereka untuk menghantar anak-anak mengikuti kelas fardu ain. Anak-anak yang tidak dididik dengan keagamaan memudahkan mereka terdedah kepada gejala tidak sihat.
- PERANAN GURU
Menyentuh peranan guru dalam menangani masalah ini, ia perlu dilihat daripada sudut sikap guru dan punca-punca yang membawa kepada permasalahan ini. Guru adalah golongan yang hampir dengan pelajar selepas ibu bapa. Malah dalam agama islam, orang kedua yang perlu dihormati selepas ibu bapa adalah guru. Kebanyakan golongan masyarakat meletakkan tanggungawab membentuk disiplin murid di sekolah pada guru disiplin atau guru kaunseling. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana tugas mendidik di sekolah perlu diletakkan di bahu semua guru di sekolah. Bagi menangani masalah disiplin ini, perlu wujud hubungan yang harmoni antara guru dan pelajar. Guru-guru perlu mengubah sikap mereka supaya masalah yang timbul tidak berlarutan. Ini bermakna, guru perlu bersedia menghadapi dan mengelakkan pelanggaran disiplin berlaku di kalangan murid.
Sikap guru yang positif serta penuh dedikasi dalam menyampaikan pengajaran secara berkesan bukan sahaja dapat menghapuskan masalah disiplin, malah dapat meningkatkan tahap pencapaian akademik murid-murid. Atas sebab itu, iklim yang sihat dalam proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas, dapat dijadikan tapak semaian dalam melahirkan pelajar-pelajar yang berilmu serta bermoral tinggi. Aliran-aliran penyelesaian masalah masa kini dikatakan lebih sesuai bersifat klinikal daripada menghukum murid-murid yang melanggar masalah disiplin. Guru perlu cuba membantu murid yang bermasalah disiplin, menyediakan aktiviti-aktiviti yang yang kreatif, bertolak ansur, berdialog dan menyediakan tugas-tugas yang bersifat perseorangan sesuai dengan keperluan pelajar yang terlibat dalam disiplin.

*Tulisan ini diolah daripada artikel Disiplin dan Pelajar Oleh Noraini Zulkifli