LIMA DOMAIN KECERDASAN EMOSI (EQ)

Goleman mengenalpasti lima domain kecerdasan emosi (EQ) iaitu kesedaran emosi kendiri, pengurusan emosi kendiri, motivasi diri, empati dan kemahiran sosial.

1) KESEDARAN EMOSI KENDIRI
Kesedaran emosi kendiri adalah kunci EQ kerana penilaian dilakukan secara realistik pada kebolehan dan keyakinan diri yang dimiliki oleh individu. Kesedaran emosi kendiri dapat didefinasikan sebagai kebolehan mengenalpasti, mengetahui dan mengiktiraf emosi serta mempunyai kebolehan mengawal emosi seseorang individu. Tanpa kesedaran emosi kendiri, individu tidak mampu membina makna hasil daripada tindakan dan reaksinya pada persekitaran.

Emosi yang tidak stabil atau tekanan dalam kalangan murid disumbangkan oleh banyak aspek seperti peperiksaan, kerja rumah, tugasan, aktiviti kokurikulum, tuntutan guru dan ibubapa terhadap pencapaian akademik murid. Hanya murid yang mempunyai kesedaran emosi kendiri yang tinggi mampu menanganinya dengan positif. Murid yang tidak memahami punca ketidakstabilan emosi mereka tidak akan dapat mencari jalan penyelesaian dan akan berakhir dengan krisis identiti dan fikiran celaru. Kesedaran emosi kendiri dapat memberikan kefahaman bagaimana emosi yang dialami memberi kesan pada diri sendiri, orang lain, pencapaian serta pelaksanaan tugasan.

2) PENGURUSAN EMOSI KENDIRI
Emosi mengawal pengurusan dalam diri, bisikan hati, dan akal. Elemen pengurusan emosi kendiri dalam EQ termasuk mengawal diri, meneliti, menyesuaikan diri, dan inovasi walau berada di bawah tekanan. Pengurusan emosi kendiri juga adalah kebolehan individu menentukan halatuju, mengenalpasti sesuatu perkara itu berlaku, dan seterusnya mampu membuat keputusan untuk diri sendiri.

3) MOTIVASI DIRI
Motivasi diri melibatkan kawalan kecenderungan emosi yang dapat memandu ataupun memudahkan pencapaian matlamat dan kejayaan. Dorongan pencapaian dan komitmen yang optimis serta inisiatif yang berterusan adalah elemen yang menjadi kunci dalam menentukan motivasi diri. Motivasi dalam diri pula didapati mempengaruhi fikiran seseorang supaya melakukan sesuatu kerana adanya keinginan dalam diri untuk mencapai kejayaan. Mereka yang mempunyai motivasi yang tinggi tidak mudah berganjak daripada pendirian mereka walaupun menghadapi cabaran dan rintangan. Mereka selalunya akan sentiasa berusaha untuk memperbaiki atau mencapai matlamat diri.

4) EMPATI
Empati ialah kebolehan individu menyedari dan memahami emosi orang lain, seterusnya menjalinkan hubungan yang erat dengan pelbagai pihak. Empati juga bermaksud kebolehan untuk peka dengan emosi dan perspektif individu lain di samping mengambil berat tentang pandangan mereka serta mempunyai kesedaran untuk membantu individu lain yang bermasalah.

5) KEMAHIRAN SOSIAL
Kemahiran sosial ialah tahap kemampuan murid mengawal emosi dalam suasana sosial dan menggunakan kemahiran kesedaran emosi kendiri, pengurusan emosi kendiri, empati dan motivasi diri bagi memujuk, berunding dan memimpin. Kemahiran ini juga adalah kecekapan mengawal keberkesanan dalam hubungan antara perseorangan. Di samping itu, kemahiran sosial yang dimiliki oleh individu juga dapat mempengaruhi taktik, keberkesanan komunikasi dengan orang lain, kemahiran mengurus konflik, kebolehan memimpin, dan kemampuan bagi bekerjasama.

Perkembangan Kecerdasan Emosi (EQ)
Sebelum muncul konsep kecerdasan emosi, kecerdasan dikaitkan dengan kemampuan semulajadi dikenali sebagai kecerdasan intelek (Intelligent Quotient). Dalam kecerdasan intelek (IQ), apa yang diukur adalah kemampuan seseorang menyelesaikan masalah menurut kaedah penaakulan atau reasoning (Mozaimi Mohamed, 2007). Pada tahun 1999, Dr. John Mayer dan Dr. Peter Salovey telah menulis artikel tentang EQ. Mereka mendefinasikan EQ dan diukur dengan kemampuan melaksanakan tugas.

Seterusnya, EQ mendapat tempat apabila Dr. Daniel Goleman menulis buku yang bertajuk Emotional Intelligence. Goleman (1995) berkata bahawa terdapat bukti yang menyatakan bahawa EQ lebih berkuasa daripada IQ dalam kehidupan seharian. EQ yang tinggi akan memberikan kepuasan dan kejayaan kepada seseorang samada dalam interaksi sosial, pencapaian kerjaya dan sebagainya. EQ juga akan memberikan kejayaan dalan gerak kerja yang melibatkan kumpulan. Hal ini kerana hubungan sesama manusia atau interpersonal yang efektif sesama ahli kumpulan akan menjamin kejayaan matlamat kumpulan (Luca dan Tarricone, 2001).

Kepentingan EQ kepada individu
EQ adalah asas kepada kehidupan dan sudah tentu kebanyakan individu perlu mengutamakan aspek ini dalam menjalani kehidupan (Baumeister dan Vohs, 2007). Kejayaan seseorang dalam menjalani kehidupan bergantung kepada sejauhmana individu itu berjaya meningkatkan EQ yang tinggi di mana dia akan berkemampuan untuk mengendalikan emosi negatif dan selalu berusaha mempamerkan emosi positif.

EQ juga penting untuk membina keupayaan dan ketahanan seseorang untuk berdaya tahan dalam menangani sesuatu masalah. Menurut RA. Catur Wahyu Arbadiati dan Ni Made Taganing Kurniati (2007), hasil kajian mendapati terdapat hubungan yang signifikan antara EQ dengan kecenderungan individu untuk menangani masalah. Maka ini jelas bahawa EQ yang tinggi akan berupaya membantu seseorang untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah dengan lebih praktikal dan bermoral.

EQ juga penting dalam sesebuah organisasi. Ooi Yeng Keat (2003) dalam kajiannya yang mengkaji kepentingan EQ dalam organisasi masa kini telah menyatakan bahawa sesebuah organisasi yang berjaya dipengaruhi oleh keupayaan pemimpinnya yang mempunyai tahap EQ yang tinggi, berupaya memahami perasaan pekerja bawahan dan mampu berinteraksi dengan pekerja dalam suasana yang harmoni. Kejayaan sesebuah organisasi tidak hanya bergantung sepenuhnya kepada keberkesanan latihan pekerjanya tetapi juga dipengaruhi oleh sejauh mana EQ dipraktikkan dalam interaksi organisasi.

Pencapaian Akademik
Pada umumnya semua murid yang normal menginginkan pencapaian akademik yang baik. Pencapaian akademik yang cemerlang merupakan sasaran utama setiap murid sama ada di peringkat rendah mahupun di peringkat pengajian tinggi. Selain itu, pencapaian akademik yang baik dan cemerlang juga merupakan satu pengharapan dan kebanggaan bagi seseorang yang bergelar murid. Malah ianya juga merupakan pengharapan kepada ibubapa, guru dan pihak institusi pendidikan yang terlibat.

Menurut Azizi Yahya, Sharifudin Ismail, Amir Hamzah Abdul dan Halimah Ma’alip (2002), pencapaian akademik menjadi kayu ukur kepada kejayaan diri seseorang individu. Prestasi pencapaian akadenik seseorang murid merujuk kepada sejauh mana seseaorang murid itu dapat memahami dan menguasai ilmu yang dipelajari. Tahap penguasaannya adalah berdasarkan kepada penilaian atau gred yang telah ditetapkan.

Prestasi pencapaian akademik bergantung kepada pelbagai faktor yang signifikan dengan diri murid seperti dorongan dan sokongan kekeluargaan, pengaruh rakan, motivasi diri dan sebagainya. Menurut Latif Anwar (1998), prestasi pencapaian akademik mempunyai hubungan yang signifikan dengan faktor diri, nilai dan kekeluargaan. Malah menurut beliau terdapat juga faktor-faktor lain seperti kemudahan fizikal, sistem pengajaran, kaedah pembelajaran atau beban kursus yang lebih memberikan kesan terhadap pencapaian akademik murid.

Hubungan EQ dengan Pencapaian Akademik
EQ mempunyai peranan yang besar dalam dunia pendidikan. Sama ada kita sedar atau tidak, ia amat memberi kesan terhadap perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek pelajar. EQ yang tinggi dalam kalangan pelajar adalah pelengkap kepada IQ yang dicapai. Mohd Azhar Abdul Hamid (2006) menyatakan kepentingan EQ dalam dunia pendidikan amat jelas dalam falsafah pendidikan kebangsaan. Melalui falsafah tersebut, EQ diperjelaskan sebagai satu aspek penting salam memperkembangkan potensi individu. Justeru, kurikulum pendidikan samada di peringkat sekolah rendah mahupun di peringkat menengah haruslah dirancang dengan mengambil kira faktor EQ.

Bukti yang paling jelas tentang pentingnya EQ dalam pendidikan ialah apabila EQ turut terkandung dalam kurikulum pra sekolah. Hal ini bermakna EQ telah mula dibentuk sejak awal persekolahan. Menurut panel penggubal Kurikulum Kebangsaan Prasekolah iaitu Prof. Madya Dr. Sohaimi Abdul Aziz (2007), komponen perkembangan sosioemosi memberikan fokus kepada penguasaan emosi dan kemahiran sosial yang matang. EQ juga penting kepada guru-guru dalam usaha mereka melaksanakan tugas.

Nordin (2001) yang telah menjalankan kajian berhubung dengan EQ dalam kalangan guru-guru di daerah Kota Setar mendapati para guru di tempat kajiannya mempunyai EQ yang tinggi dan berupaya menjalankan tugas di sekolah dengan lebih efektif.

Kebolehan mengajar kecerdasan emosi perlu didasari oleh kurikulum. Hanya melalui kurikulum sahaja kita mampu memberi kefahaman berkenaan kenapa murid sering berfikir dan bertingkahlaku secara tidak efektif. Sebenarnya mereka kurang berkemahiran dan maklumat membuat pilihan hasil dari kecerdasan emosi yang rendah. Pembentukan personaliti dan pengurusan emosi boleh dipupuk dan persekitaran sekolah adalah konteks yang ideal untuk melakukannya.

Oleh itu, pihak sekolah perlu sedar bahawa keseimbangan emosi amat penting kepada murid-murid untuk berjaya dalam akademik. Program berkaitan dengan keseimbangan emosi perlu diperbanyakkan selari dengan program-program untuk mendapat ‘straight A’ . Cabaran pembangunan insan masa kini ialah kurangnya prihatin pihak sekolah dalam soal ini sehingga apa yang dihasratkan oleh falsafah pendidikan negara tidak tercapai walaupun pelaksanaanya sudah menjangkau suku abad.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s