MELINDUNGI MASA INSTRUKSIONAL (MMI) DI SEKOLAH UNTUK MENINGKATKAN KEBERHASILAN PEMBELAJARAN MURID

MMI ialah singkatan daripada tiga rangkai kata, iaitu Melindungi Masa Instruksional. Masa Intruksional ialah masa sebenar yang digunakan untuk pelaksanaan PdP yang berkesan tanpa sebarang gangguan.

Melindungi masa instruksional amat kritikal dan perlu dirancang untuk memastikan proses pembelajaran berlangsung di sekolah dan murid dapat belajar dengan baik dan berkesan. Penggunaan masa instruksional yang berkesan akan menghasilkan sebaran ilmu dan kemahiran yang ditetapkan dalam sukatan pelajaran kepada semua murid.

Di samping itu, pihak sekolah juga perlu mengambil kira penyusunan jadual waktu yang sesuai mengikut mata pelajaran berdasarkan penerimaan murid. Jadual waktu yang mengambil kira susunan masa dan mata pelajaran yang berganding, pada awal dan akhir masa pembelajaran misalnya turut memberikan kesan kepada PdP yang dilaksanakan. Pengurangan masa instruksional akibat daripada pelbagai gangguan perlu dibendung bagi memastikan tempoh masa untuk pembelajaran berkesan dalam kalangan murid dapat ditingkatkan.

Antara isu-isu menyebabkan pembaziran masa instruksional dan tidak dapat digunakan dengan sebaik mungkin kerana:

1) GURU TIADA DI SEKOLAH
Setiap guru perlu mematuhi arahan yang dikeluarkan. Mereka bukan sahaja perlu melaksanakan PdP dalam kelas tetapi juga perlu hadir bagi pelbagai aktiviti dan program di luar sekolah. Hal ini, termasuklah menghadiri kursus, mesyuarat, taklimat, seminar, dan lain-lain. Demi memenuhi arahan, jadual dan masa pembelajaran yang ditetapkan tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya sebagaimana yang dirancang.

2) GURU BERADA DI SEKOLAH TETAPI TIDAK BERADA DALAM KELAS.
Terdapat sebilangan kecil guru walaupun hadir ke sekolah tetapi kurang peka dan prihatin atas tanggungjawab melaksanakan PdP di kelas.  Mereka mungkin menghabiskan masa berbual-bual di kantin, di bilik guru atau di bilik-bilik khas sedangkan mengikut jadual, mereka perlu masuk ke kelas pada waktu berkenaan. Terdapat juga guru yang hadir  tetapi perlu melaksanakan tugas-tugas yang lain seperti mengisi borang dan dokumen menyebabkan mereka tidak dapat masuk ke kelas.

3) GURU MASUK KELAS TETAPI TIDAK MENGAJAR.
Dalam sesetengah keadaan, masa instruksional tidak digunakan oleh guru sebaik mungkin walaupun ia berada di dalam kelas. Guru hanya duduk, membaca akhbar, melayari internet atau menyiapkan kerja-kerja luar yang bukan tugas rasmi. Murid-murid dibiarkan bermain dan berkeliaran di dalam kelas atau hanya diberikan kerja-kerja mudah seperti melukis, mewarna, dan sebagainya. Kebanyakan kes dalam isu ini melibatkan guru ganti.

4. PENGURUSAN BILIK DARJAH
Pengurusan bilik darjah yang lemah menyebabkan masa instruksional terbuang begitu sahaja. Hal sedemikian ini, termasuklah murid perlu mengambil sedikit masa untuk membetulkan susunan kerusi dan meja, membersihkan kelas, atau mengumpul buku latihan kerana perancangan dan pelaksanaan tugas-tugas berkenaan tidak dirancang oleh guru.

5. KESEDIAAN GURU MELAKSANAKAN PENGAJARAN
Akibat tidak dirancang, guru mengambil masa instruksional untuk mendapatkan bahan bantu mengajar atau memasang peralatan kemudahan ICT. Peralatan yang rosak tidak terlebih dahulu dikenal pasti tentunya lebih membazirkan masa untuk PdP. 

6. KESEDIAAN MURID
Murid kurang bersedia untuk mengikuti dan mengambil bahagian secara aktif dalam pembelajaran kerana kurang ditekankan pengalaman sedia ada dalam set induksi atau pengenalan. Akibatnya, sesi pembelajaran banyak berlangsung secara sehala.

7. GANGGUAN DALAMAN
Tumpuan murid semasa pelaksanaan masa instruksional di dalam kelas juga terganggu dengan adanya beberapa pengumuman menerusi pembesar suara. Begitu juga dengan kehadiran ibu bapa yang terus ke kelas untuk menemui anak-anak mereka atas pelbagai urusan telah mengganggu masa instruksional.

8. DISIPLIN MURID
Kedapatan juga, murid yang datang lewat ke sekolah dan masuk ke kelas. Hal sedemikian ini, menjejaskan tumpuan rakan-rakan apabila beberapa orang rakan mereka masuk ke kelas sedangkan pembelajaran sedang berjalan. Murid yang melanggar disiplin seperti membuat bising dan mengganggu rakan juga mengakibatkan masa instruksional terganggu dengan leteran guru.

9. ACARA RASMI SEKOLAH
Beberapa acara rasmi sekolah tentunya telah ditetapkan dalam takwim bagi tahun semasa. Antara acara rasmi ini ialah sambutan Hari Guru, Isra’ dan Mikraj, Maulidur Rasul, Kejohanan Balapan dan Padang, Hari Anugerah Kecemerlangan, dan lain-lain. Pelaksanaan acara rasmi ini sekiranya tidak dirancang dan dipantau, masa instruksional yang sepatutnya berlaku akan berlalu begitu sahaja. Hal sedemikian ini, akibat daripada murid yang tidak memberikan perhatian dan membuat bising ketika acara dilangsungkan dan nilai-nilai murni yang patut disemai tidak berlaku.

Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa sekiranya masa instruksional (PdP) tidak diurus dengan berkesan maka akan berlaku pembaziran masa yang mengakibatkan bukan sahaja objektif pembelajaran semasa tidak tercapai malah visi dan misi sekolah itu sendiri akan terjejas. Justeru, perhatian dan tumpuan ke arah melindungi masa instruksional ini memerlukan komitmen yang tinggi dalam kalangan pentadbir dan guru di sekolah.

Menurut Cotton (2003), pimpinan instruksional yang berkesan melibatkan diri secara gigih dalam isu-isu kurikulum dan pengajaran. Selain itu, pelebaran peranan instruksional juga melibatkan Penolong Kanan, Guru Cemerlang, Guru Kanan, dan Guru Mata Pelajaran. Hal ini, disahkan melalui dapatan kajian yang dijalankan oleh Elmore (2000), King (2002), dan Spillane, Halverson dan Diamond (2001) yang mengiktiraf peranan penting yang boleh dimainkan oleh pihak-pihak lain di sekolah dalam memastikan pelaksanaan aktiviti-aktiviti instruksional pengajaran. Perancangan jadual waktu yang tersusun serta mengambil kira mata pelajaran dan masa yang bersesuaian juga mempengaruhi keberkesanan PdP yang dilaksanakan di dalam kelas.

Sumber:
Ghazali Kassim
SK Seri Indera, Kangar, Perlis.

Diterbitkan oleh:
Kementerian Pendidikan Malaysia

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s