INVENTORI KECERDASAN PELBAGAI (IKeP) DI SEKOLAH RENDAH

Sistem pendidikan yang memberi fokus kepada pembangunan modal insan seperti yang dihasratkan dalam Misi Nasional dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan amat memerlukan pentaksiran kapasiti insan atau keupayaan insan yang bersifat holistik. Menurut Kamus Dewan (2005), istilah holistik membawa makna bersifat saling berkait antara satu sama lain sebagai satu sistem bersepadu yang menyeluruh dan bukan sekadar menyentuh aspek-aspek tertentu sahaja. Kualiti seseorang murid tidak sepatutnya dilihat daripada keupayaan intelek yang digambarkan dalam keputusan peperiksaan bertulis semata-mata (Hanizah Hamzah, 2011a dan 2011b).

Sebaliknya, kualiti manusia boleh dinilai dengan mengambil kira pelbagai dimensi yang menjadikan individu itu seorang insan yang berilmu pengetahuan, berkemahiran, mempunyai sikap dan tingkah laku terpuji, mempunyai nilai kerohanian, mempunyai tahap kesihatan dan kecergasan yang tinggi, beremosi stabil, berkeupayaan berfikir, dan berkeupayaan hidup bermasyarakat. Oleh kerana apa yang hendak dibina ialah insan, maka pentaksirannya juga hendaklah mengambil kira ciri-ciri dan sifat keinsanan yang pelbagai. Ini bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin melahirkan individu yang seimbang, berpotensi dan bersepadu.

Pelan Pembangunan Pendidikan dilakarkan berdasarkan dapatan kajian-kajian UNESCO, OECD, Bank Dunia, Institusi Pendidikan Awam tempatan dan Dialog Nasional Pendidikan Negara. Lima ciri Aspirasi Utama Pendidikan yang akan diberi perhatian bermula 2013 iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Pada peringkat murid pula, pelan ini memberi fokus kepada pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian dan identiti nasional. Bagi merealisasikan aspirasi ini sebelas anjakan perlu dilakukan iaitu:

  1. Akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.
  2. Setiap murid profisien dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
  3. Rakyat Malaysia yang menghayati nilai.
  4. Keguruan sebagai profesion pilihan.
  5. Kepimpinan prestasi tinggi.
  6. Mengupaya Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah.
  7. Teknologi maklumat dan komunikasi untuk kualiti pembelajaran.
  8. Kapasiti penyampaian Kementerian Pendidikan Malaysia.
  9. Kerjasama ibubapa, komuniti dan swasta.
  10. Nilai untuk setiap ringgit yang dibelanjakan, dan
  11. Ketelusan untuk akauntabiliti.

Melalui inisiatif mentransformasi pentaksiran, Lembaga Peperiksaan (LP) telah memulakan langkah melaksanakan satu sistem pentaksiran yang holistik, direka bentuk untuk menyediakan maklumat supaya kita dapat mengenal profil murid, membantu pembelajaran murid, memantau perkembangan murid dan mengiktiraf pencapaian murid dalam pelbagai bidang. Justeru, pencapaian akademik murid bukanlah satu-satunya aspek kritikal dalam pembangunan manusia. Lantaran itu, satu jenis ujian bagi mengumpul maklumat tret psikologi yang dinamakan Pentaksiran Psikometrik (PPsi) digunakan untuk mengukur dimensi ini.

Ujian Psikometrik

Konsep Pentaksiran Psikometrik telah diperkenalkan pada tahun 2007. Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengambil langkah untuk mengumpul maklumat tentang tret psikologi murid melalui kaedah pentaksiran psikometrik. Fungsi pentaksiran psikometrik ialah mengumpul data yang akan menyumbang kepada maklumat profil murid. Maklumat profil murid yang lengkap dan menyeluruh akan dapat membantu warga pendidik mengenal pasti potensi murid dan menggilap potensi ini.

Definisi

Ujian Psikometrik ialah kaedah sistematik yang digunakan untuk mengumpul maklumat yang dapat menggambarkan ciri, atribut atau tret psikologi seseorang, sama ada dalam domain kognitif atau afektif. Menurut British Psychological Society, ujian psikometrik adalah instrumen yang direka bentuk untuk menghasilkan penilaian kuantitatif tentang beberapa atribut psikologi.

Ujian psikologikal boleh didefinisikan sebagai ujian yang boleh memberi maklumat tentang kapasiti, kemampuan atau kecenderungan untuk bertindak, bertindak balas, kemungkinan melalui pengalaman atau menstruktur pemikiran dan perilaku dengan cara tertentu (Lewis & Crozier, 1999).

Pentaksiran psikometrik dalam sistem pendidikan negara ini, merujuk kepada aktiviti pentaksiran yang digunakan untuk mengenal pasti kebolehan semula jadi murid, personaliti, bakat, minat dan kecenderungan (KPM, 2012). Selain tret psikologi atau kebolehan murid yang bersifat semula jadi, pentaksiran psikometrik juga digunakan untuk mengenal pasti tret yang boleh dikembangkan secara tidak langsung melalui aktiviti pembelajaran di sekolah.

Tujuan Pentaksiran

Pentaksiran Psikometrik diperkenalkan dalam sistem pendidikan adalah bertujuan untuk;

i. Mengukur kebolehan semula jadi (innate ability) dan kebolehan yang diperolehi (acquired ability) seperti personaliti, minat kerjaya, aptitud atau kebolehan, kemahiran menyelesaikan masalah, dan kemahiran berfikir.

ii. Mendapatkan deskripsi yang tepat mengenai profil psikologi individu atau kumpulan.

iii. Memahami kekuatan dan potensi murid yang boleh dibangunkan bagi meningkatkan perkembangan pembelajaran dan pertumbuhan peribadi murid.

iv. Menjadi panduan murid dalam membuat kerjaya pilihan yang praktikal atau realistik.

v. Meningkatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang sifat dan perbezaan individu.

vi. Menyediakan maklumat tentang personaliti kerjaya yang realistik bagi meluaskan aspirasi kerjaya murid.


Komponen Pentaksiran Psikometrik (PPsi)

Komponen PPsi sekolah rendah terdiri daripada Ujian Aptitud am dan khusus seperti penerangan di bawah:

Ujian Aptitud
Secara umum, aptitud ialah komponen kompetensi sama ada yang bersifat semula jadi atau yang diperoleh, dipelajari atau dibangunkan melalui proses pembelajaran. Ujian ini memperihalkan kesediaan dan potensi murid dari segi mental atau fizikal untuk mempelajari sesuatu perkara atau melakukan sesuatu kerja pada tahap tertentu pada masa akan datang.

a. Ujian Aptitud Am
Aptitud adalah kebolehan atau bakat semula jadi untuk belajar atau melakukan sesuatu perkara tertentu dengan mudah dan cepat. Ia kurang berkaitan dengan ilmu, budaya dan pendidikan, sebaliknya sangat berkaitan dengan kebolehan atau bakat dalaman yang diwarisi. Ujian Aptitud Am mengukur kebolehan minda seperti kemahiran menaakul dan verbal yang boleh digunakan untuk meramal prestasi pendidikan murid pada masa hadapan.

b. Ujian Aptitud Khusus
Ujian Aptitud Khusus pula mengukur ciri yang menggambarkan potensi seseorang murid untuk menceburi bidang pembelajaran, aliran atau pekerjaan pada masa akan datang. Dalam bidang persekolahan, ujian ini digunakan untuk mengenal pasti dan menilai kesediaan, potensi, kesesuaian atau meramal kejayaan murid dalam pembelajaran seterusnya. Hasil ujian ini juga boleh dijadikan rujukan oleh guru dalam merancang strategi pengajaran dan pembelajaran yang sesuai mengikut kecenderungan murid. Ujian Aptitud Khusus direka bentuk untuk mengenal pasti sama ada murid memiliki kecerdasan berikut:
i. Verbal Linguistik
ii. Visual Ruang
iii. Logik Matematik
iv. Muzik
v. Naturalis
vi. Kinestatik
vii. Interpersonal
viii. Intrapersonal dan
ix. Eksistensia

KECERDASAN PELBAGAI
Kecerdasan Pelbagai merupakan satu potensi yang ada dalam diri individu. Setiap individu mempunyai kecerdasan yang tersendiri dan unik untuk menyelesaikan persoalan atau masalah yang mereka hadapi.

Gardner (1983) mendefinisikan kecerdasan pelbagai sebagai satu kecenderungan kecerdasan individu. Menurut beliau, kecerdasan adalah kebolehan untuk menyelesaikan masalah atau menghasilkan produk yang dinilai (dihargai) oleh satu atau pelbagai budaya.
“An intelligence is the ability to solve problems, or to create products that are valued within one or more cultural setting”.

Kamus Dewan (2005), pula mendefinisikan kecerdasan sebagai kebolehan untuk melakukan pemikiran secara mujarad (abstrak), kebolehan untuk membuat penyeluruhan dan cara tindakan terhadap sesuatu situasi yang bermasalah.

Menurut David Wechsler (1974), kecerdasan ialah kebolehan individu memahami diri, persekitarannya, dan kepakaran yang ada padanya untuk menghadapi cabaran hidup dan menyelesaikan masalah. Kebolehan ini adalah bersifat sejagat atau pun universal. Binet (1905) pula, mendefinisikan kecerdasan sebagai kebolehan memahami dan membuat penaakulan yang baik bagi menyesuaikan diri dengan situasi atau persekitaran.

Dapatlah disimpulkan bahawa kecerdasan adalah keupayaan manusia menggunakan bakat dan kebolehan yang ada pada dirinya untuk menyelesaikan masalah. Faktor yang membantu manusia menyelesaikan masalah ialah kebolehan dan keupayaan untuk membuat penaakulan, pemahaman dan penilaian terhadap sesuatu situasi dan keadaan yang dihadapi. Setiap murid mempunyai kecerdasan yang berbeza. Setiap kecerdasan itu perlu dinilai dan diadili secara sama rata. Kecerdasan murid-murid dapat dipertingkatkan melalui peluang-peluang pendidikan seperti menyediakan persekitaran yang kaya dengan bahan dan aktiviti yang menyeronokkan. Instrumen yang dibangunkan untuk mengenal pasti kecerdasan murid Tahun 6 adalah bersandarkan teori Kecerdasan Pelbagai oleh Howard Gardner (1993) dan Smith & Smith (2002).

Kaedah Pentadbiran IKeP Sekolah Rendah

-LEMBAGA PEPERIKSAAN, KPM

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s