INTRUMEN KECERDASAN PELBAGAI DALAM UJIAN PSIKOMETRIK.

Teori Kecerdasan Pelbagai telah dikemukakan oleh Howard Gardner (1993, 1999). Beliau mengemukakan lapan kecerdasan manusia yang dapat diperkembangkan sepanjang hayat. Menurut Gardner, manusia mempunyai kesemua lapan kecerdasan. Manakala, Smith & Smith (2002), telah menambahkan satu lagi kecerdasan iaitu eksistensial dan menjadikannya sembilan.

Gardner telah membuat kajian terhadap pelbagai lapisan masyarakat termasuklah kanak-kanak biasa dan istimewa, juga kelompok penduduk yang mempunyai kriteria yang istimewa. Gardner juga mengatakan bahawa kecerdasan bukanlah semata mata diwarisi tetapi boleh dipupuk dan dikembangkan.

Ada murid mencapai tahap yang tinggi dalam beberapa kecerdasan dan tahap yang rendah dalam kecerdasan yang lain. Manakala terdapat pula murid yang mempunyai kecerdasan yang tinggi dalam hampir kesemua sembilan kecerdasan ini. Setiap murid boleh diperkembangkan dalam kesembilan kecerdasan yang disenaraikan ke tahap yang tinggi sekiranya diberi galakan, pengayaan dan pengajaran yang sesuai. Kesembilan-sembilan kecerdasan adalah saling berkait secara bersepadu semasa murid-murid melakukan sesuatu aktiviti.

Teori kecerdasan pelbagai ini mengiktiraf kesemua kecerdasan yang terdapat pada individu, dan mempunyai kelebihan apabila diaplikasikan dalam pendidikan. Kecerdasan pelbagai boleh bertindak sebagai petunjuk kepada potensi seseorang. Murid boleh menggunakan kecerdasan yang dimiliki untuk membantu menguasai sesuatu yang dipelajari. Oleh itu murid boleh mengembangkan setiap kecerdasan ke tahap yang lebih tinggi melalui latihan dan keupayaan sendiri.

1) Verbal linguistik
Kecerdasan Verbal – Linguistik merujuk kepada kebolehan murid menggunakan bahasa dengan efektif secara lisan dan bertulis.

i. Murid mempunyai kemahiran mendengar, berfikir dalam bentuk perkataan, bercakap, menulis, bercerita, menerangkan, mengingat maklumat dan memahami perkataan.
ii. Murid sensitif terhadap makna perkataan dan mahir untuk memanipulasikannya.
iii. Murid cenderung untuk belajar dengan lebih baik melalui pembacaan, mengambil nota, berbincang dan berdebat mengenai apa yang mereka pelajari. 
iv. Murid mampu mempelajari bahasa asing dengan mudah kerana mempunyai kebolehan untuk memahami dan memanipulasi sintaks. 
v. Murid pandai berbicara, gemar bercerita dan tekun mendengar cerita atau membaca. 

2) Visual Ruang
Kecerdasan Visual Ruang ialah kebolehan untuk berfikir secara gambaran, imej, bentuk dan corak. 

i. Murid mampu untuk membentuk model secara visual dan mengaplikasikan model itu kepada dunia fizikal, seperti memahami peta, carta, gambar, video dan filem serta boleh melakar, melukis dan menterjemah imej secara visual. 
ii. Murid berkeupayaan membuat penilaian tentang ruang dan membayangkan dalam mindanya. 
iii. Murid mahir dalam menyelesaikan puzzle dan pembinaan struktur serta bijak menghubungkaitkan antara objek-objek dalam ruang. 
iv. Murid berkebolehan menceritakan dan menggambarkan pengalaman yang pernah dilalui serta mempersembahkan idea-idea visual ruang dalam bentuk imaginatif dan kreatif.

3) Logik Matematik
Kecerdasan Logik Matematik merupakan kebolehan yang dominan di bahagian kiri otak. Ini membolehkan murid menaakul secara deduktif dan induktif serta berfikir secara konseptual dan abstrak.

i. Murid yang cenderung dalam kecerdasan ini boleh menyelesaikan masalah kompleks yang berkaitan matematik dengan mudah serta boleh membuat perkaitan, menyoal, menganalisis, mensintesiskan, mengira dan menggunakan komputer dengan cekap.
ii. Murid yang mempunyai kecerdasan Logik Matematik yang tinggi memperlihatkan minat yang besar terhadap kegiatan yang berbentuk eksplorasi.
iii. Murid sering bertanya tentang berbagai-bagai fenomena yang berlaku di persekitaran, suka menuntut penjelasan logik dari setiap pertanyaan dan suka mengklasifikasikan benda.

4) Muzik
Kecerdasan Muzik berkaitan dengan sensitiviti terhadap bunyi, irama, melodi, dan lagu. Murid yang mempunyai kecerdasan Muzik berkebolehan mengesan dan membezakan bunyi, muzik serta irama yang terdapat di persekitarannya.

i. Murid berkebolehan meluahkan perasaan melalui muzik dan berupaya bermain alat muzik serta menghafal lirik dengan baik walaupun tanpa latihan.
ii. Murid boleh menggubah rentak, tempo, mengenali dan mengingati nada-nada bunyi atau muzik.

5) Naturalis
Kecerdasan Naturalis adalah berkaitan dengan minat terhadap alam semula jadi.

i. Murid yang mempunyai kecerdasan Naturalis yang tinggi biasanya merupakan individu pencinta alam sekitar yang dapat mengenali dan mengklasifikasikan flora, fauna, dan galian.
ii. Murid sangat menghargai alam sekitar, lebih banyak menghabiskan masa di luar dan gemar mendengar bunyi-bunyian alam semula jadi.
iii. Individu Naturalis sensitif terhadap alam sekitar dan boleh menghubungkaitkan antara kehidupan flora dan fauna.

6) Kinestetik
Kecerdasan Kinestetik adalah berkaitan dengan kebolehan murid menggunakan sebahagian atau keseluruhan anggota tubuh badan untuk berkomunikasi dan menyelesaikan masalah.

i. Murid cekap menginterpretasi pergerakan anggota atau tubuh, lebih cenderung melakukan aktiviti yang berkait dengan pergerakan badan seperti bersukan, menari, gimrama dan lain-lain.
ii. Murid mahir memanipulasi objek fizikal dan dapat mengimbangi antara pergerakan fizikal dengan mental.
iii. Murid boleh belajar dengan lebih berkesan melalui aktiviti yang melibatkan pergerakan otot seperti sukan atau tarian.

7) Interpersonal
Kecerdasan Interpersonal adalah berkaitan dengan kebolehan individu memahami perasaan, sikap, tabiat serta hasrat orang lain.

i. Murid dapat berinteraksi dengan mudah dan boleh bekerjasama dengan orang lain untuk menghasilkan sesuatu yang berfaedah serta dapat memberi motivasi kepada orang lain.
ii. Individu mampu membezakan pelbagai petanda interpersonal dan boleh memberi maklum balas terhadap petanda tersebut.
iii. Murid mempunyai kecerdasan interpersonal yang tinggi biasanya boleh berkomunikasi dan berinteraksi dengan berkesan.
iv. Murid mempunyai empati yang tinggi, suka menolong orang lain dan minat membina hubungan sosial dengan orang lain.
v. Murid boleh belajar dengan berkesan melalui kaedah berkumpulan.

8) Intrapersonal
Kecerdasan Intrapersonal adalah berkaitan dengan kesedaran tentang diri sendiri dan berkebolehan untuk menilai diri sendiri.

i. Murid mengenali diri sendiri secara mendalam dan mempunyai tanggapan tentang kekuatan dan kelemahan diri sendiri.
ii. Murid mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap kebolehan mereka sendiri.
iii. Murid berpegang teguh pada prinsip kehidupan, mempunyai azam yang kuat, berdikari dan mempunyai hala tuju yang jelas.
iv. Murid lebih menyukai kaedah belajar secara bersendirian dan gemar melakukan refleksi kendiri (muhasabah diri).
v. Murid adalah seorang yang introvert dan suka melakukan tugasan secara bersendirian.

9) Eksistensial
Kecerdasan Eksistensial adalah berkaitan dengan kebolehan memahami erti kewujudan manusia dan alam, memahami makna sesuatu kejadian, menggunakan daya intuisi yang tinggi dalam memahami realiti kehidupan.

i. Murid menghargai dan menghayati nilai-nilai agama, nilai-nilai sejagat dan norma masyarakat.
ii. Murid meletakkan nilai-nilai ketuhanan dan kemanusiaan yang tinggi dalam mempertimbangkan sesuatu keputusan dalam kehidupan.
iii. Murid suka membaca buku buku bercorak falsafah, bahan-bahan keagamaan, nilai-nilai tradisi dan suka mengamati sesuatu kejadian secara mendalam.
iv. Murid boleh belajar dengan berkesan melalui kaedah penyoalan, pemerhatian, renungan kendiri, inkuiri penemuan dan kaedah perkongsian.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s